Wednesday, April 16, 2014

Urine Pregnancy Test (UPT)



Saya percaya ramai ibu-ibu pernah menguji kehamilan mereka melalui ujian air kencing, sama ada yang didapati dari farmasi atau klinik. Namun ramai yang tidak tahu apa sebenarnya yang diuji dalam air kencing mereka.

Ujian yang dilakukan ialah Urine Pregnancy Test (UPT) untuk mengesan kandungan hormon hCG atau hormon human chorionic gonadotropin yang dikeluarkan oleh uri (placenta) pada bayi.

Pembentukan uri berlaku sebaik saja janin(embryo) ‘ditanam’ (implantation) pada rahim. Uri akan menghasilkan hormon hCG dan dapat dikesan melalui air kencing wanita itu. Alat UPT membantu mendiagnosa kehamilan di awal kehamilan.

Adakah ianya tepat?

Pada Oktober 2001 Journal JAMA article (JAMA. 2001;286:1759-1761) menerbitkan satu artikel yang menyatakan bahawa kebarangkalian untuk mengesan hormone hCG menggunakan UPT yang dilakukan selepas seminggu tidak datang darah haid (missed period) adalah 97 peratus.

Namun begitu saya selalu menasihatkan kepada wanita bahawa waktu yang terbaik untuk melakukan ujian UPT adalah seawal dua minggu selepas missed period. Walaupun hormon hCG dikeluarkan sebaik saja selepas berlakunya implantation, namun kepekatan hormon pada waktu itu mungkin belum dapat dikesan menggunakan alat UPT.

Dari hari ke hari, kepekatan hormone hCG akan bertambah dalam air kencing wanita yang hamil. Pada hari ke-10 kepekatan hCG dalam air kencing ialah 25 mIU, manakala pada hari ke-12 ialah 50mIU dan hari ke-14 ialah 100 mIU.

Tidak semua alat UPT mampu mengesan kepekatan hCG pada 25 mIU. Ada alat UPT hanya mengesan hCG dalam air kencing jika kepekatannnya 50 atau 100 mIU. Jadi cara terbaik ujian ini haruslah dilakukan pada hari ke 14.

Oleh itu sebelum membeli alat UPT dan membawa balik ke rumah, perlulah bertanya pada ahli farmasi dan doktor mengenai alat UPT yang diberikan itu.

Jika tidak, wanita yang dikatakan tidak hamil (UPT result negative) mungkin tiba-tiba menjadi positif beberapa hari kemudian.

Bagaimana membaca keputusannya?

Alat UPT selalunya mempunya dua ‘tingkap’. Satu ’tingkap’ sebagai control (C) untuk memberitahu sama ada ujian ini dijalankan dengan betul.

Satu lagi ‘tingkap’ sebagai test (T) untuk memberitahu sama ada ujian itu positif atau negatif.



Jika terdapat dua garis (satu di tingkap C dan satu di tingkap T), maka keputusannya adalah positif. Manakala jika hanya terdapat satu garisan, keputusannya negative.

“Doktor, mulanya saya dapati ianya negative, selepas sejam saya nampak ada dua garisan tetapi pudar”, tanya seorang wanita yang tiba-tiba muncul di ruang chatting FB saya.

”Bagaimana pula jika jalurnya pudar?” Soalan ini sering ditanyakan.

Seorang wanita menceritakan pengalamannya, “Doktor, masa anak kedua dulu, saya buat ujian UPT dan negatif. Setelah tiga bulan tidak datang darah haid, saya buat ujian ultrasound dan doktor kata saya pregnant. Macam mana boleh jadi macam tu?”

Keadaan ini selalu berlaku apabila ujian itu dilakukan terlalu awal. Kepekatan hormon hCG yang rendah, menyebabkan alat UPT tidak dapat mengesan dengan baik, menyebabkan jalur di tingkap T menjadi kabur. Walaupun garisan itu kelihatan kabur, namun ia tetap dikira positif.



Saya mencadangkan agar melakukan ujian UPT semula setelah beberapa hari. Masa terbaik ialah 14 hari selepas misssed period.

UPT Boleh Mengelirukan?

Positif UPT tidak bermakna hamil jika…

Seorang wanita berumur 35 tahun yang sedang menjalani rawatan kesuburan dengan cara suntikan hormon datang berjumpa saya dengan mood yang baik. Beliau telah missed period selama dua minggu.

Dengan muka ceria, beliau memberitahu yang UPT yang dilakukannya pagi tadi positif.

“Alhamdulillah doktor, saya sudah hamil!” tanda keriangan di mukanya. Saya tidak sampai hati untuk mengganggu keseronokan itu.

“Puan pasti?”

“Apa maksud doctor? Ujian UPT saya pagi tadi positif”, nada bertukar menjadi perlahan. Keliru dengan soalan saya.

Saya terpaksa menjelaskan keadaan sebenar walaupun mungkin akan menukarkan mood mereka suami isteri. Saya bimbang jika tidak diberikan penerangan, mereka akan salah faham. Mereka akan menyangkakan anak yang dihamilkan dilarikan bunian.

Wanita yang menjalani rawatan kesuburan dengan suntikan hormon hCG seperti Profasi, Pregnyl atau Novarel haruslah menunggu 7-14 hari selepas disuntik. Hormon yang disuntik itu tentunya akan diproses dan akan dikeluarkan semula melalui air kencing.

Jika mereka melakukan ujian UPT terlalu awal, hormon hCG yang dibekalkan melalui suntikan itu yang akan dikesan, bukannya yang dikeluarkan dari uri janin dalam rahem.

Ujian UPT akan memberikan keputusan false positif, iaitu ujian itu menunjukkan keputusan positif, padahal wanita itu tidak hamil.

Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, saya menasihatkan agar tunggulah sedikit masa.

Tanyakan kepada doktor yang memberikan suntikan tentang ubat suntikan itu dan dosnya. Ini kerana ada ubat kesuburan yang mengandungi hormone hCG dan mengganggu ujian UPT, dan ada juga ubat kesuburan yang tidak memberi kesan pada ujian itu.

Untuk suntikan yang mengandungi hCG 10 000 mIU, harus menungu selama 14 hari, sementara suntikan yang mengandungi 5,000 IU, harus menunggu 10 hari dan bagi 2,500 IU harus menunggu 7 hari.

Jadi janganlah terlalu ’excited’ dengan terus membuat ujian UPT apabila missed period.

 
Mula-mula positif, kemudian negatif..

Ada juga kekeliruan apabila keputusan ujian UPT itu pada mulanya positif dan selepas beberapa minit ianya menjadi negatif kerana garisan kedua perlahan-lahan hilang.



Keputusan sebenar bagi ujian UPT sebegini ialah negatif. Wanita itu tidak hamil. Garisan kedua seharuslah muncul dalam masa lima minit dan kekal berada di situ.

Jika garisan itu tiba-tiba menjadi pudar, ujian UPT haruslah diulangi selepas beberapa hari.

Ujian UPT boleh dilakukan sama ada di klinik atau di rumah. Namun bacalah arahan pada kotak atau helaian kertas yang dilampirkan. Ini akan membantu untuk memahami ujian yang dilakukan.

Antara sebab-sebab berlakunya kesilapan dalam melakukan ujian ialah ujian itu dilakukan dengan cara yang salah atau  air kencingnya telah menjadi cair atau alat UPT telah expired dan tidak disimpan di dalam peti  sejuk.

Cara yang betul melakukan UPT ialah menggunakan “midstream urine” di awal pagi iaitu wanita itu harus kencing dahulu sedikit dan kemudian tahan.

Tadahkan air kencing dalam urine container untuk mengumpulkan air kencing.

Kemudian titikkan air kencing ke tempat yang disediakan pada alat UPT.

Cara terbaik melakukan ujian itu ialah pada waktu pagi sebelum sarapan bagi mengelakkan kecairan air kencing ini.

Kecairan air kencing berlaku apabila wanita itu melakukannya di waktu tengah hari dan petang.

Mereka telah minum air dan menyebabkan air kencing menjadi cair.

Ujian darah untuk menentukan kehamilan

Jika wanita itu mahu ujian yang lebih tepat, saya mencadangkan ujian darah dilakukan untuk mengesan hormon hCG.

Terdapat dua cara bagi menentukan kehamilan dengan pemeriksaan darah iaitu secara kualitatif dan kuantitatif.

Ujian kualitatif akan memeriksa sama ada hormon hCG berada dalam darah atau tidak.

Dengan ini ianya akan memberikan keputusan sama ada POSITIF atau NEGATIF.

Sementara ujian kualitatif pula akan menguji kepekatan hormon hCG.

Kebaikan ujian ini ia dapat mengesan tahap hormon yang lebih rendah, pada tahap kepekatan 5 mIU berbanding dengan air kencing 25-50 mIU.

Ia juga akan memberikan nilai bacaan kepekatan hCG.

Nilai bacaan tahap kepekatan hCG boleh digunakan untuk melihat corak (pattern) peningkatan kepekatan hCG dalam darah jika ia diambil secara berkala.

Bagi mereka yang selalu keguguran (miscarriage), pemeriksaan darah untuk mengetahui tahap kepekatan hormone hCG secara kuantitatif dilakukan untuk menganggarkan kebarangkalian kehamilan kali ini menerima nasib yang sama.

Darah diambil beberapa kali pada selang beberapa hari bagi melihat corak peningkatan kenaikan kepekatan hormon hCG. Selalunya kepekatan hCG akan meningkat secara mendadak. Ia menjadi berganda setiap dua hari selepas umur kehamilan memasuki 4-6 minggu.

Kemudian apabila mula mencapai 1600-6000 mIU, kepekatan ini akan berganda secara mendadak setiap 3 hari dan akan mencapai kemuncaknya apabila umur kehamilan mencapai 12-14 minggu.

Kehamilan yang mungkin mengalami keguguran dapat dijangkakan apabila peningkatan kepekatan hCGnya perlahan daripada biasa. Ia meningkat secara perlahan dan tidak secara mendadak seperti kehamilan normal.

Namun begitu, jika pemeriksaan ultrasound telah mengesan denyutan jantung bayi dalam rahem, kebarangkalian untuk mengalami keguguran akan bertambah nipis. Kebarangkalian untuk gugur akan berkurangan menjadi 1-2% apabila umur kehamilan mencapai 12 minggu dan mempunyai degupan jantung.

UPT positif dan pendarahan

“Bagaimana pula jika baru-baru ini saya menjalani ujian UPT, keputusannya positif. Tapi tidak lama selepas itu saya mengalami pendarahan”

Musibah sebegini biasa berlaku pada wanita yang hamil. Pendarahan (pada faraj ketika hamil) adalah tanda proses keguguran sedang berlaku. Apabila mereka melakukan semula ujian UPT mereka mendapati ia masih positif (masih hamil).

Biasanya pendarahan pada hari pertama, kepekatan hormon hCG masih tinggi dan dapat dikesan melalui UPT. Apabila proses keguguran telah sempurna (janin mati), hormon hCG tidak lagi keluarkan.

Jika ujian UPT dilakukan semula selang beberapa hari, sudah tentu keputusannya negatif. Cara yang terbaik untuk mengesahkan kematian janin (keguguran) ialah melakukan ujian ultrasound. Doktor akan cuba melihat degupan jantung bayi. Jika tiada, maka sahlah bayi telah mati dan perlu dikeluarkan melalui prosedur D&C.

Tetapi jika pemeriksaan ultrasound mendapati rahem telah kosong, bermakna janin telah keluar bersama dengan pendarahan itu. Prosedur D&C tidak perlu dilakukan.

”Apa perlunya anak saya perlu lakukan ujian UPT. Dia kan belum kahwin, masih belajar di kolej. Dia cuma sakit perut dan ada pendarahan saja. Doktor ni mengarutlah!” sergah seorang datin ketika membawa anaknya ke Jabatan Kecemasan satu masa dulu.

Saya tidak terpengaruh dengan dakwaan sebegitu. Hasilnya.. ujian UPT positif dan anaknya disahkan mengalami kehamilan luar rahem (ectopic pregnancy).

Ada wanita yang sudah berkahwin mengalami sakit perut yang kuat atau pendarahan di luar waktu kitaran haid yang biasa, terperanjat apabila doktor minta melakukan ujian UPT. Apa kaitannya?

Ia sebenarnya untuk mendiagnosa kehamilan yang tidak disangkakan. Ada kalanya pendarahan yang disangkakan ‘darah haids’ sebenarnya tanda-tanda kehamilan luar rahem, terutama jika disertai dengan sakit perut yang kuat.


Ujian UPT tidak dapat mendiagnosa kehamilan luar rahem tapi akan membantu doktor mendiagnosa musibah itu. Kes kehamilan di luar rahem juga akan mengeluarkan hormone hCG, tetapi selalunya dikeluarkan dalam kadar yang perlahan. Jadi ia dapat dikesan melalui ujian UPT atau paling tepat ujian darah. Pemeriksaan ultrasound membantu doktor mengesahkannya.

Kesan ubat farmasi dan herba?

“Saya sudah menjanda lima tahun, umur pun sudah masuk 50 tahun, sudah menopause. Lepas makan ubat direct selling tu, nape saya mengalami pendarahan ?”

Kes yang terbaru yang berjumpa saya ialah seorang wanita 50an yang sudah menopause, mengadu mengalami pendarahan (seperti darah haid) apabila mengamalkan makanan tambahan. Berhati-hatilah ketika mengamalkan apa saja makanan tambahan.

Jadi cuba tanya penjual ubat herba atau ahli farmasi jika ubat atau makanan tambahan yang dibeli mengandungi apa-apa hormon.

Secara amnya, ubat-ubat yang dibeli dari farmasi atau ubat herbal tidak akan mempengaruhi keputusan hCG selagi ianya tidak mengandungi hormone hCG. Ini termasuk ubat batuk, demam atau antibiotic.

Saya juga simpati atas wanita yang mengalami keguguran dan terdesak mahukan zuriat. Selepas keguguran, sama ada gugur secara sendiri atau ‘dicuci’ dengan prosedur D&C, selalunya kitaran haid akan terganggu. Beliau mungkin akan kelewatan kedatangan darah haids untuk beberapa minggu.

Namun ada kalanya mereka tidak sabar untuk melakukan ujian UPT kerana mengharapkan mereka hamil semula. Ia akan mengelirukan jika ujian UPT itu positif, dan mereka merasa gembira kerana menyangka telah berjaya hamil setelah keguguran.

Saya menasihatkan kepada wanita yang baru saja keguguran dan tidak mengalami kedatangan darah haids untuk beberapa minggu, agar tidak melakukan ujian UPT dengan segera. Saya bimbang kekecewaan lama akan dituruti oleh kekecewaan yang baru.

Jika keputusannya positif atau terdapat garisan yang pudar pada tingkat T di alat UPT, ia hanyalah disebabkan terdapat sedikit baki hormon hCG yang masih berada dalam tubuh wanita itu.

Kesimpulannya, ujian UPT adalah ujian yang ringkas dan mudah, boleh dilakukan di rumah. Oleh kerana ianya ringkas, kadang kala ianya mendatangkan kekeliruan. Sebarang kekeliruan mengenai ujian UPT haruslah dibincangkan bersama dengan doktor yang merawat. Berkomunikasilah dengan baik. Semoga mendapat penjelasan.

Wallahu a’lam.


Sumber:  Dr Zubaidi Hj Ahmad (131210)

6 comments:

  1. aslkm.. sy nk tnye.
    klu implation bleeding lebih tiga hari , itu normalke?

    ReplyDelete
  2. aslm.. kakak sy bru lps gugur 5/9.. bila gi check doct.. doct cakap.. dalam perut dah kosong.. tpi bila kakak sy check pregnancy test..ianya msih double line.. dan smpai skrng darah msih keluar mcm piriod..bole bgi thu sebabnya tak?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum . Saya agak keliru . Saya sudah lewat period lebih kurang 2 minggu dan say dah check UPT . 5 UPT yang berbeza termasuk Clearblue . Dan keputusannya positif . Jadi yang membuatkan saya tidak yakin ialah saya ialah pengidap PCOS . Dan saya ada mengambil supliment Himalya Evecare untuk merawat PCOS saya . Jadi saya mengambil langkah untuk bertanyakan hal ini kepada ahli farmasi yang menjualkan kepada saya . Adakah Herba Himalaya Evecare ini meningkatkan hormon HCG yang menyebabkan UPT Positif dan dia kata yes herba untuk meningkatkan hormon hcg . Just apa yang saya pelik breast saya sakit . Jadi saya confuse adakah UPT itu positif disebabkan saya memang pregnant atau disebabkan herba Himalaya Evecare yang saya amalkan . Dan semalam saya scan dengan dokter untuk memastikan rahim saya dalam keadaan baik . Alhamdulillah tiada cyst cuma kista kista kecil yang terjadi semasa PCOS itu masih ada . Cuma masih tidak nampk bentuk janin atau kantung . Anggapan saya mungkin terlalu awal kerna baru lewat 2 minggu . Saya harap admin boleh menjelaskan apakah betul kandungan herba evecare himalaya/ herba boleh menyebabkan UPT saya positif atau memang saya preggy

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum..doctor sy nk bertanya,2hari lepas sy test upt,naik dua line samar..pagi tadi sy cuba test lagi..naik satu line sahaja..adakah upt yg naik dua line samar tu rosak.?

    ReplyDelete
  5. Assalamulaikum doc. Sy nk kpastian. Mula2 satu line stelah beberapa jam naik 2line. Kputusan btul atau salah doc.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum doc..sya nk kepastian.Sya dh lewat period 16hari last period 18/2 dan perut sya skt sya igt kn segugut nk dtg period.Selepas lewat period seminggu sya dh bt upt test tp negetive.Seminggu kemudian sya try bt upt test lagi tp negetive pada mula nya..pada waktu petang sya tengok balik ada dua line tp samar.Pagi esk nya sya try test lg pada pukul 4pg..tp 2jam yang lalu sya ada mkn dan masa test tu air kencing cair dan result nya negetive.Perut sya masih lg skt sampai skrg.Kenapa ya doc? Tapi hati sya kuat mengatakan yang sya pregnancy.

    ReplyDelete